MELAKA: Seorang peniaga nasi bungkus berlauk di Ayer Keroh dekat sini, tidak menaikkan harga makanan sejak dua tahun lalu walaupun ditekan kenaikan kos bahan mentah setiap hari.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik gerai My Nasi Bungkus, Nazrin Shah Jamaludin, 31, berkata, hanya sekali harga juadahnya dinaikkan sejak memulakan perniagaan tiga tahun lalu.
Katanya, dia menjual nasi putih dan nasi minyak bersama pelbagai jenis lauk antaranya ayam goreng berempah, gulai daging, sambal paru dan ayam masak merah.
“Nasi putih atau nasi minyak bersama sayur, lauk, keropok dan sambal belacan berharga RM7.50 sebungkus manakala hidangan kombo dua jenis lauk berharga RM10 sebungkus. Sebelum ini saya jual RM7 sebungkus tetapi terpaksa naik 50 sen kerana tidak mampu lagi menanggung kos yang tinggi.
“Sudah dua tahun saya kekal dengan harga sekarang. Tipulah kalau kata tidak terkesan langsung, tetapi saya cuba bertahan untuk memberi peluang kepada yang kurang berkemampuan membeli juadah pada harga berpatutan.
“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada pelajar universiti dan penduduk di taman perumahan berdekatan. Ada juga yang datang dari jauh seperti Cheng, Merlimau dan Telok Mas terutama pada hujung minggu,” katanya.
Menurut Nazrin Shah, harga beras yang naik mendadak sejak kebelakangan ini sangat memberi kesan kepada perniagaannya.
Menurutnya, harga beras 10 kilogram (kg) rata-ratanya berharga RM34 sekampit berbanding RM25 pada bulan lalu.
“Saya dapati berlaku dua atau tiga kali kenaikan dalam tempoh sebulan. Buat masa ini saya masih boleh bertahan dengan harga RM7.50 sebungkus tetapi kalau semakin lama semakin mahal, saya terpaksa naikkan harga untuk menampung kos.
“Dulu RM300 dah cukup untuk beli bahan mentah termasuk beras tetapi sekarang meningkat kepada RM400. Saya berharap kerajaan segera mencari jalan penyelesaian supaya peniaga seperti saya tidak terbeban, sekali gus dapat menawarkan harga murah kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN











