Dia serah cek palsu RM500,000 kepada saya – Steve - Utusan Malaysia

Dia serah cek palsu RM500,000 kepada saya – Steve

STEVE Yap ketika berkongsi kisah pernah menjadi mangsa penipuan untuk membiayai filem terbarunya, Adoii Jiwaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Steve Yap mendedahkan pernah dikambing hitam seorang individu yang aktif melakukan jenayah penipuan menerusi kegiatan pelaburan wang.

Beliau berkata, individu terbabit juga rakyat Malaysia, secara senyap menggunakan nama dan statusnya sebagai selebriti untuk memancing dan meyakinkan mangsa menyertai pelaburan bersamanya dengan menjanjikan keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit.

“Individu tersebut pernah menyuarakan minat untuk membiayai filem terbaru saya, Adoii Jiwaku. Bagaimanapun, saya tertipu apabila mendapat tahu cek bernilai RM500,000 yang diserahkannya untuk membiayai projek tersebut sebenarnya palsu.

“Lebih parah lagi apabila dia secara senyap menggunakan nama dan status saya sebagai selebriti untuk meyakinkan kawan-kawan saya agar membuat pelaburan dengannya.

“Kegiatan si pelaku ini telah saya laporkan kepada pihak berkuasa pada 2018 bagaima­napun tiada apa-apa tindakan setakat ini. Justeru saya gunakan akaun media sosial untuk mendedahkan perkara itu kepada umum bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mang­sa,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Adoii Jiwaku baru-baru ini.

Beliau berkata, wujud dalam kalangan rakannya yang menanggung kerugian hingga ratusan ribu ringgit gara-gara termakan pujuk rayu si pelaku.

“Hasil siasatan sendiri mendapati si pelaku sebelum ini pernah melakukan kegiatan sama di Singapura.

“Ramai sebenarnya yang tertipu, ada dalam kalangan kawan saya yang menanggung kerugian sehingga RM100,000. Saya tak boleh biarkan dia terlepas begitu sahaja kerana membabitkan nama saya.

“Saya harap si penipu segera ditangkap dan saya menasihatkan kepada rakan-rakan dan masyarakat agar tidak termakan dengan taktiknya yang menjual nama saya untuk menjerat mang­sa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN