Dakwaan pinda Perlembagaan, Guan Eng selar Muhyiddin - Utusan Malaysia

Dakwaan pinda Perlembagaan, Guan Eng selar Muhyiddin

LIM Guan Eng berucap pada Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kampar dan ADUN Keranji di Kampar hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyelar dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau berkata, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak berasas kerana urusan persempadanan semula adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya tidak tahu dan tiada maklumat langsung, ini (persempadanan semula) ditentukan oleh SPR, sepatutnya beliau tanya SPR bukan pihak kami (kerajaan Perpaduan).

“Sebagai bekas Perdana Menteri, tak kan beliau tidak tahu bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan yang tentukan bukan orang lain kecuali SPR sahaja.

“Kadang-kadang saya meragui sama ada beliau layak atau tidak menjadi Perdana Menteri. Kalau perkara yang asas dalam Perlembagaan Persekutuan pun dia tak faham, susahlah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kampar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, di sini hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin dalam ceramah PN di Kempas, Johor semalam, bahawa kemenangan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai memberi kelebihan kerajaan ketika ini memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan termasuk berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya.

Menurut Muhyiddin, sekiranya pindaan itu dibuat, kemungkinan besar kawasan pilihan raya di negara ini bertambah daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini menjadi 300 kerusi.

Bagaimanapun beliau berkata, langkah itu boleh disekat sekiranya pengundi di PRK Parlimen Pulai memenangkan calon PN Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, isu yang dimainkan pembangkang untuk menyerang kerajaan Perpaduan itu sama sekali tidak akan menjejaskan undi rakyat pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Katanya, budaya politik fitnah bukanlah amalan baru bagi pembangkang dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.

“Saya harap rakyat boleh melihat yang mereka ini demi menang dan berkuasa, sanggup buat apa sahaja termasuk menggunakan isu tidak berasas. Saya harap rakyat dapat membezakan mana yang benar dan salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya