CAP, SAM terus rayu projek PSI tidak diteruskan - Utusan Malaysia

CAP, SAM terus rayu projek PSI tidak diteruskan

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meneruskan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI).

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pihaknya dan SAM amat kesal dengan pendedahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana kerja-kerja projek itu akan bermula hari ini selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek itu diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Julai lalu.

”Kami ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ini adalah keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi.

”Selain daripada isu undang-undang, kami amat kecewa kerana Kerajaan Perpaduan bertekad meneruskan projek tersebut walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh nelayan termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) dan semua unit nelayan di sini,” katanya di sini hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini memaklumkan EMP untuk projek ‘Silicon Island’ bagi projek PSI telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai lalu dan kerja-kerja persediaan awal tambakan bagi projek itu akan dimulakan hari ini.

Mohideen berkata, nelayan telah mencabar kelulusan laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan projek itu tetapi tiada tarikh pendengaran ditetapkan setakat ini oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

”Mengurangkan skala projek daripada tiga pulau kepada satu pulau tidak meredakan kebimbangan kami dan komuniti nelayan.

”Seperti yang kami telah maklumkan berulang kali, projek ini tidak diperlukan kerana tanah di Seberang Perai adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pengembangan aktiviti ekonomi,” katanya.

Tambahnya, kemusnahan ekosistem penting yang kaya dengan kepelbagaian biologi akibat daripada projek itu adalah tidak wajar dan tidak masuk akal.

“Kerajaan Perpaduan melafazkan akan bertindak demi kepentingan awam bagi memastikan keadilan sosial, tetapi kini mengabaikan bantahan keras daripada persatuan nelayan,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya sekali lagi merayu Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan negeri agar tidak memburukkan lagi ketidakadilan sosial dan alam sekitar dengan meneruskan projek penambakan itu.

“Tolong dengar suara mereka yang mewakili kepentingan nelayan dan tidak mengalah kepada pihak swasta yang mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan awam.

“Kami menggesa permulaan kerja penambakan ini akan dihentikan dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya