GEORGE TOWN : Kerajaan digesa supaya mempercepatkan tindakan kawal selia bagi menghapuskan penggunaan plumbum dalam cat untuk melindungi kesihatan awam khususnya kanak-kanak dan wanita hamil.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tiada tahap pendedahan plumbum yang dianggap selamat dan langkah segera perlu diambil bagi menamatkan ancaman bahan toksik itu terutama dalam produk cat yang digunakan di rumah dan tempat awam.
Katanya, walaupun Malaysia telah mempunyai piawaian bagi mengehadkan kandungan plumbum dalam mainan kanak-kanak kepada tidak lebih 90 bahagian per juta (ppm), langkah itu masih belum mencukupi kerana tidak meliputi cat domestik dan peralatan taman permainan.
“Ujian CAP pada tahun 2022 mendapati, 20 daripada 28 sampel cat enamel hiasan yang diuji mengandungi plumbum termasuk dua sampel dengan kandungan melebihi 10,000 ppm. Kajian pada 2023 juga menunjukkan 15 daripada 31 cat diuji masih mengandungi plumbum,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohideen kehadiran plumbum dalam cat biasanya berpunca daripada penambahan bahan berasaskan plumbum oleh pengeluar atau pencemaran silang di kilang.
Keadaan itu katanya amat membimbangkan kerana plumbum merupakan bahan toksik terkumpul yang memberi kesan serius terhadap sistem saraf, buah pinggang, hati dan tulang.
“Menurut WHO, kanak-kanak kecil berisiko empat hingga lima kali ganda lebih tinggi menyerap plumbum berbanding orang dewasa terutamanya disebabkan tabiat semula jadi mereka menggigit atau memasukkan objek ke dalam mulut,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembuat Cat dan Salutan Malaysia (MPCMA) Chee Chih Hung berkata, penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menghapuskan plumbum dalam cat adalah langkah penting bagi memastikan semua pihak mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
“Kegagalan Malaysia bertindak tegas boleh menjadikan negara ini tempat pembuangan produk dengan kandungan plumbum tinggi yang ditolak negara lain. Demi melindungi generasi masa depan, kerajaan perlu bertindak segera,” katanya. -UTUSAN










