Cadangan bina ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan sementara

Cadangan bina ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan sementara

Tangguh ladang babi
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Sealngor mengesahkan kerajaan negeri membatalkan sementara cadangan pembinaan ladang babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menyambut baik saranan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubunginya pada minggu  lalu apabila cadangan pembinaan di kawasan berkenaan menerima bantahan keras daripada penduduk.

“Perdana menteri menghubungi saya melalui panggilan telefon kerana pada waktu itu saya berada di luar negara atas urusan pemukiman sebuah syarikat, saya sendiri mengambil maklum dan menyambut baik.

“Kebetulan juga pada Rabu itu, Exco (Infrastruktur dan Pertanian) Datuk Izham Hashim membangkitkan ada bantahan keras di kawasan dicadangkan. Jadi, saya kata carilah tempat yang sesuai atau kurang sensitif,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun, perbincangan dengan pengusaha ternakan masih dilakukan sejak beberapa minggu lalu bagi menyantuni semua pihak supaya dapat berlaku adil demi kepentingan semua.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tiada sebarang lokasi benar-benar selamat bagi ternakan haiwan itu di negeri ini susulan Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin menyatakan penternakan babi membawa risiko pencemaran serius melalui sisa najis, bahan kimia, bangkai dan air basuhan kandang.

Amirudin memaklumkan, bagaimanapun tiada kawasan alternatif lain, namun sehingga peringkat itu perkara tersebut belum diputuskan lagi.

“Sebenarnya, sebelum Perdana Menteri maklum, pada hari Rabu memang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memberikan arahan kepada Izham bagi mencari alternatif.

“Tetapi kita tak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu (alternatif) ataupun cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau menyatakan cadangan pembinaan ladang babi itu belum sampai peringkat pelaksanaan apabila tiada permohonan Kebenaran Merancang, kajian seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN