SABAK BERNAM: Minat yang kuat menjadi faktor seorang usahawan sanggup membelanjakan lebih RM200,000 untuk memiliki koleksi 500 telefon bimbit lama yang pernah popular di negara ini.
Kesemua telefon itu mula dibeli Azizol Dollah, 49, sejak 30 tahun lalu meliputi pelbagai jenama yang menjadi rebutan seperti Nokia 3210, Motorola D688, Ericsson S868 dan Samsung N188.
Menurut pengusaha hotel itu, kebanyakan koleksi itu dibelinya sendiri ketika bekerja di sebuah hotel di ibu kota sekitar 1990-an.
“Saya memang obses memiliki telefon bimbit lama dan sanggup menyimpan wang bagi memenuhi hobi tersebut.
“Biarpun ada berharga mahal mencecah ribuan ringgit, minat terhadap kecanggihan teknologi pada waktu itu menyebabkan saya akan berusaha memilikinya,” katanya ketika ditemui di pekan Sabak di sini, semalam.
Jelas Azizol, dia berkongsi hobi sama dengan isterinya, Norzahidah Bakar, 37, yang turut menyimpan koleksi telefon berkenaan.
“Telefon itu mempunyai kelebihan tersendiri dari segi reka bentuk unik dan mudah dikenali termasuk butang pada peranti berbanding telefon pintar kini yang menggunakan skrin sentuh.
“Selain lebih lasak, baterinya tahan sehingga seminggu dan keunikan permainan asas Snake, Space Impact dan Bantumi,” ujar bapa kepada enam anak itu.
Namun, tambah Azizol, minat beliau mengumpul telefon bimbit semakin berkurangan selepas kemasukan telefon pintar sekitar 2009.
“Saya berharap generasi muda dapat mengenali telefon lama itu yang boleh dianggap koleksi antik dan mempunyai nilainya tersendiri,” katanya.- UTUSAN










