Perkhidmatan berjadual FDS akan diteliti semula - KP Kesihatan

Perkhidmatan berjadual FDS akan diteliti semula – KP Kesihatan

MAHATHAR ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti semula perkhidmatan doktor udara (FDS) yang dilaksanakan secara berjadual di 97 kawasan lokaliti di Sarawak. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mahathar Abd. Wahab berkata, langkah tersebut penting bagi menjamin  tahap keselamatan petugas kesihatan, selain memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman dapat disalurkan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun katanya, misi bantuan evakuasi perubatan (Medevac) untuk pesakit kritikal tetap diteruskan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tahap piawaian keselamatan.  

“Sebenarnya, dalam FDS ada beberapa komponen. Pertama, perkhidmatan berjadual sebulan sekali atau setiap dua bulan sekali sebagaimana yang diperlukan penduduk pedalaman. 

“Satu lagi komponen Medevac, iaitu pengangkutan pesakit kritikal untuk dibawa mendapatkan perubatan. Sekiranya ada keperluan dan situasi penerbangan dibenarkan termasuk tiada masalah cuaca, Medevac perlu dilaksanakan 

“Namun, yang terkait dengan perkhidmatan jadual, kita akan tengok balik dari semasa ke semasa, kita akan memberikan input dan panduan kepada pasukan kita di lapangan,” katanya dalam sidang akhbar khas berhubung nahas helikopter itu di sini, hari ini. 

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak. 

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi  Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai kebenaran untuk melaksanakan penerbangan berkata, beliau yakin perkara tersebut mengikut prosedur dan penilaian keselamatan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan. 

“Untuk makluman, bagi sebarang aspek penerbangan sama ada helikopter, kapal terbang dan sebagainya, prosedur tertentu daripada aspek keselamatan perlu dipatuhi sebelum kebenaran untuk terbang diberikan.

“​Dalam kes semalam, kebenaran tersebut (diberikan) dan  penerbangan telah berlaku,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika ditanya mengenai dakwaan elaun petugas FDS hanya menerima elaun sebanyak RM30 berkata,  Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengemukakan cadangan berkaitan elaun petugas perkhidmatan doktor udara (FDS) kepada pihak berwajib sejak November tahun lalu.

Katanya, perkara itu antara aspek kebajikan petugas yang diberi perhatian KKM, termasuk memastikan staf menerima elaun yang sewajarnya atas tugas dilaksanakan. 

“Antara cadangan yang kami angkat adalah elaun FDS penghujung tahun lalu, secara tepatnya bulan November 2025. Kami yakin akan dapat satu respons positif daripada pihak yang berwajib, daripada pihak berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×