JOHOR BAHRU: Malaysia mengalihkan tumpuan mengaplikasi pembinaan modular pada skala industri secara lebih meluas bagi meningkatkan produktiviti, kualiti serta penyampaian projek berasaskan teknologi di negara ini.
Langkah strategik itu menjadi fokus utama penganjuran BINA: Modular Asia Forum 2026 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan CIDB Malaysia yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, pelabur serta ahli akademik.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr. Ahmad Farrin Mokhtar berkata, pembinaan modular mewakili transformasi penting dalam industri tempatan dengan mengalihkan kebergantungan daripada aktiviti tradisional di tapak pembinaan kepada pendekatan berasaskan pembuatan.
“Dalam erti kata lain, kita sedang membawa prinsip perindustrian (industrialisation) ke dalam industri pembinaan yang menekankan standardisasi, teknologi digital, kawalan kualiti dan integrasi rantaian bekalan.
“Cabaran kita seterusnya adalah membawa pembinaan modular daripada projek-projek tertentu kepada penggunaan pada skala industri secara menyeluruh merangkumi reka bentuk, pembuatan, rantaian bekalan, pembiayaan dan kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program BINA: Modular Asia Forum 2026 di sini hari ini.
Menurut Ahmad Farrin, pendekatan itu selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada teknologi pembinaan moden seperti Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM).
Jelas beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan CIDB Malaysia kini bekerjasama melaksanakan projek rintis pembinaan modular Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) di bawah RMK13.
“Selain itu, kami turut merangka Malaysia’s Modular Construction Roadmap 2030 sebagai hala tuju pelaksanaannya bagi menyokong Dasar Pembinaan Negara 2030 serta Pelan Tindakan Pembinaan 2026–2030 (CAP30),” katanya.
Beliau menambah, pertumbuhan pesat projek infrastruktur, pusat data dan kemudahan industri di rantau Asia memberi peluang emas kepada Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.
“Aspirasi kita adalah untuk membangunkan keupayaan tempatan yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi pembinaan modular, tetapi juga mereka bentuk, menghasilkan, mengintegrasikan dan mengeksport penyelesaian berteknologi tinggi ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Forum edisi keenam bertemakan Building the Future of Asia: Scaling Modular Construction Through Policy, Innovation & Investment itu dianjurkan oleh CIDB IBS Sdn. Bhd. dengan sokongan Aurum Precast Sdn. Bhd. sebagai rakan komuniti, serta mempamerkan 20 reruai inovasi pembinaan moden.
Sebagai kesinambungan acara, katanya, seramai 40 peserta forum dijadual menyertai lawatan teknikal ke Integrated Construction and Prefabrication Hub (ICPH) di Singapura, esok bagi melihat pendedahan secara langsung mengenai automasi pembuatan digital serta aplikasi Design for Manufacturing and Assembly (DfMA).-UTUSAN










