KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengubah pendekatan komunikasi politik dan tidak lagi bergantung kepada kaedah tradisional seperti ceramah semata-mata.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, komunikasi politik pada masa kini perlu disampaikan secara padat dan pantas dengan memberikan penekanan terhadap aspek penyampaian, bukan sekadar naratif atau drama.
Katanya, UMNO juga perlu menerima kepentingan platform digital yang kini menjadi antara medium utama komunikasi masyarakat.
“Telefon bimbit merupakan medium komunikasi pada hari ini. Oleh itu, ia juga seharusnya menjadi medium komunikasi politik kita.
“Parti politik selalunya tidak menggunakan pendekatan ini, sebaliknya hanya memegang mikrofon dan berceramah. Namun, inilah realiti dan fakta yang tidak boleh kita ketepikan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Menurut Azalina, keperluan memperkukuh penggunaan platform digital dikenal pasti menerusi pengalaman UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Katanya, kaedah itu membantu parti memperkenalkan calon baharu kepada pengundi dalam tempoh kempen yang hanya berlangsung selama dua minggu.
“Sabah merupakan kawasan yang begitu besar dan ramai calon baharu perlu diperkenalkan.
“Pada akhirnya, tidak kira sekuat mana sesebuah parti politik, perkara paling penting ialah calon kita mesti menang. Jika terlalu banyak bercakap tetapi kalah, apakah gunanya?” katanya.
Azalina berkata, pendekatan yang digunakan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan dilihat menunjukkan hasil yang baik.
Katanya, penggunaan platform digital juga perlu diteruskan oleh calon yang memenangi pilihan raya untuk mengendalikan pusat khidmat dan melaksanakan tugas mereka.
Dalam pada itu, Azalina berkata, jentera parti termasuk Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi.
“Kita merupakan parti yang sangat tradisional. Sekarang, dengan adanya pendekatan dan keahlian baharu, kita mahu memastikan jentera parti bergerak selari dengan platform digital.
“UMNO akan memberikan tumpuan terhadap latihan kepada jentera penerangan selain mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri yang dimulakan di Melaka,” katanya. – UTUSAN










