KOTA BHARU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong menegaskan beras tempatan masih lagi mendapat tempat dalam kalangan penduduk di negeri ini walaupun ramai beranggapan beras seludup dari Thailand menjadi makanan ruji.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Aimi Jusoh berkata, perkara itu dapat dilihat apabila beras keluaran PPK Kangkong mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna tempatan.
“Selaku salah satu pengeluar beras tempatan, saya lihat perkara itu kurang tepat. Namun kita akui, penggunaan beras seludup dari Thailand ini sudah sebati dengan rakyat negeri ini.
“Hal ini kerana kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Aimi yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri memberitahu, setiap bulan PPK Kangkong menerima 200 tan padi untuk diproses menjadi beras bagi menampung permintaan pasaran di negeri ini.
Katanya, jumlah tersebut diterima secara berperingkat-peringkat untuk memastikan rantaian makanan itu sentiasa mencukupi.
Sementara itu Pengerusi PPK Semerak, Alias Mat Rani berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengarahkan agensi pertanian membangunkan semula teknologi penanaman padi dengan pelbagai pendekatan dan kajian supaya kualiti beras negara setanding dengan Thailand.
Katanya, pada masa sama kempen mengguna beras tempatan perlu terus dipertingkatkan dalam meningkatkan pengeluaran seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap beras luar negara.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 90 peratus atau 1.26 juta penduduk Kelantan makan beras yang diseludup dari Thailand kerana rasa makanan ruji itu didakwa lebih sedap selain aroma wangi berbanding beras tempatan.
Seminggu dianggarkan lebih 50,000 tan metrik beras Siam dibawa masuk ke negeri ini dan beras pelbagai jenama seperti Arnab, Angsa Emas, Mangga, Basikal dan Serindit mendapat permintaan tinggi. – UTUSAN










