PETALING JAYA : Sebanyak empat kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ yang masih berdegil di sekitar Pintasan Saloma dan Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), kelmarin.
Menerusi operasi sama, sebanyak empat peralatan yang digunakan dalam aktiviti itu turut disita.
DBKL berkata, tindakan itu diambil dalam ‘Op Lens’ Siri 4/2026 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).
Menurutnya, operasi bersepadu itu mengambil tindakan penguatkuasaan berterusan ke atas kegiatan perkhidmatan fotografi atau ulat foto tanpa kebenaran yang dijalankan di tempat awam.
“DBKL mengeluarkan empat notis kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta membuat empat sitaan pelbagai peralatan jurufoto mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Dua notis turut dikeluarkan kepada individu (ulat foto) berkenaan untuk hadir bagi tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Peralatan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan rekod dan dokumentasi lanjut.
Sementara itu dalam operasi berasingan, DBKL menyita peralatan perniagaan lima premis yang menghalang laluan awam di sekitar Taman Pusat Kepong dan Jalan Mergastua, dekat sini kelmarin.
Katanya, pihaknya menjalankan pemeriksaan aktiviti perniagaan restoran makanan dan minuman yang membuat halangan dengan peletakan peralatan perniagaan di laluan penjalan kaki, petak parkir, atas jalan dan tempat awam.
“Susulan itu, sebanyak lima aktiviti perniagaan dikenakan tindakan sita dan pindah halangan serta-merta termasuk pengeluaran notis kompaun mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Peralatan perniagaan seperti kerusi, meja, payung dan peralatan lain yang dikenakan tindakan sita dan pindah halangan dibawa ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” jelasnya – UTUSAN










