ISKANDAR PUTERI: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke Singapura untuk bekerja maut manakala isterinya cedera selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 0.6 Lebuhraya Linkedua arah selatan di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 2.40 petang.
Katanya, mangsa yang maut berusia 31 tahun manakala isterinya berumur 29 tahun dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru ekoran mengalami kecederaan di kepala dan tangan kiri.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal berkenaan hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.
“Pemandu lori tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi talian 07-5101322,” katanya. – UTUSAN










