WASHINGTON: Dalam tempoh 24 jam pertama sekatan pelabuhan Iran dikuatkuasakan, kapal perang Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran kepada enam buah kapal, sekali gus memaksa kesemuanya berpatah balik, menurut kenyataan seorang pegawai AS pada Selasa.
Pegawai berkenaan memaklumkan tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam pertembungan tersebut dan anggota tentera AS juga tidak menaiki mana-mana kapal sebelum ia menukar haluan.
Lima daripada kapal berkenaan dikenal pasti membawa muatan minyak, manakala kandungan muatan bagi kapal keenam masih belum dikenal pasti.
Dua daripada kapal pengangkut minyak itu dilaporkan berpatah balik dalam tempoh dua jam pertama selepas sekatan mula berkuat kuasa pada pagi Isnin.
Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan tersebut pada Ahad selepas rundingan dengan pihak Iran gagal mencapai kata sepakat bagi menamatkan peperangan.
Sejak pertempuran bermula pada lewat Jumaat, trafik melalui Selat Hormuz dilaporkan hampir terhenti sepenuhnya, sekali gus mencetuskan kenaikan harga minyak serta barangan keperluan utama yang lain.
Pihak tentera AS kini menggunakan lebih daripada 100 pesawat pejuang dan pengintip, serta lebih daripada sedozen kapal perang bagi menguatkuasakan sekatan berkenaan.
Menurut pegawai itu, AS memintas kapal-kapal terlibat sebaik sahaja ia memasuki Teluk Oman selepas melalui Selat Hormuz. Pihak AS menempatkan lebih daripada sedozen kapal di Teluk Oman dan tidak bercadang untuk memindahkannya ke Teluk Parsi bagi mengelakkan risiko bahaya yang lebih tinggi.
Sebaliknya, AS memanfaatkan pesawat pengintip, pesawat berasingan serta sistem pengawasan maritim seperti radar untuk mengenal pasti kapal yang keluar dari pelabuhan dan kawasan pesisir Iran.
Komunikasi dilakukan melalui radio bagi memaklumkan bahawa mereka telah melanggar syarat sekatan dan perlu berpatah balik selepas merentasi Selat Hormuz.
Tentera AS mengarahkan kapal-kapal berkenaan kembali ke pelabuhan Iran di Teluk Oman, berbanding melalui semula Selat Hormuz, memandangkan AS mempunyai lebih banyak aset dan pilihan di kawasan berkenaan untuk menguatkuasakan sekatan.
Setakat ini, dilaporkan tiada kapal yang enggan mematuhi arahan tersebut. Bagaimanapun, pegawai itu menegaskan bahawa tentera AS mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan kekerasan bagi menghentikan mana-mana kapal yang ingkar, termasuk menggunakan pesawat pejuang atau kapal perang untuk melepaskan tembakan.
Mengenai kapal yang dibenarkan terus belayar seperti kapal tangki China, Rich Starry, pegawai tersebut memaklumkan pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada kapal berkenaan membayar tol kepada Iran atau sebaliknya.
Beliau menegaskan bahawa Rich Starry tidak melanggar syarat sekatan AS kerana ia berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tentera AS tidak mengeluarkan arahan untuk kapal itu berpatah balik. -AGENSI










