Bekas eksekutif akaun didakwa lupus wang aktiviti haram RM1 juta

Bekas eksekutif akaun didakwa lupus wang aktiviti haram RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif akaun firma guaman sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melupus, memindah dan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta.

Abu Zarin Haron, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melupuskan wang berjumlah RM112,000 hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya di Malayan Banking Berhad, Jalan Tun Perak, Bukit Bintang di sini antara 18 September 2020 dan 19 Julai 2021.

Abu Zarin turut berdepan dua pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM633,641.07 daripada akaun simpanan ke akaun Maybank Investment miliknya pada tempat sama antara 30 September 2020 dan 15 Oktober 2021.

Dia juga didakwa atas empat pertuduhan menerima wang aktiviti haram berjumlah RM886,908.7 daripada akaun simpanan melalui tiga akaun bank milik dua wanita dan seorang lelaki pada tempat serupa antara 21 April 2021 dan 14 Januari 2021.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Peguam Kassim Ludin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan paling munasabah dengan alasan anak gumanya kini tidak bekerja selain perlu menanggung keluarga serta tiga anak yang masih belajar.

“Sebelum ini, anak guam saya dituduh dengan kes predikat dan mahkamah menetapkan jaminan RM50,000.

“Oleh itu, saya memohon kepada mahkamah memberikan jumlah jaminan sebelum ini dikenakan kepada tertuduh selain memohon wang jaminan RM50,000 untuk kes predikat sebelum ini digunakan semula untuk jaminan kali ini,”katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes.

Pada 1 Jun lalu, Abu Zarin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN