KOTA TINGGI: Bermula sebagai pendapatan sampingan, seorang wanita di sini kini memberi tumpuan penuh membuat beg tangan sebagai punca pendapatan utamanya.
Nurul Ashikin Salleh, 38, berkata, meskipun lari jauh daripada bidang dipelajari di institusi pengajian tinggi (IPT) dahulu, dia berpuas hati kerana dapat melakukan perkara yang diminatinya sejak kecil.
Katanya, meskipun tidak memiliki pendapatan tetap, dia pernah meraih sehingga RM3,000 hasil tempahan daripada para pelanggan.
“Saya dahulu belajar diploma kejuruteraan elektronik, lepas habis belajar bekerja sebagai juruteknik di kilang dan beberapa kerja lain. Saya kemudian mula buat beg tangan ini sebagai part time ketika bekerja di pejabat syarikat swasta dekat bandar Kota Tinggi.
“Ketika itu cuti hujung minggu dan waktu balik kerja saya manfaatkan membuat beg tangan. Wang gaji juga digunakan sebagai modal membeli peralatan untuk membuat beg,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Nurul Ashikin berkata, selepas melahirkan anak kembar pada tahun 2020, dia memberi fokus sepenuhnya membuat beg tangan apabila mengambil keputusan berhenti kerja untuk beri tumpuan menjaga anak-anak di rumah.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, sejak kecil dia memang suka kepada kraftangan namun minatnya itu tidak dapat diteruskan ketika melanjutkan pelajaran.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana minatnya dapat diluahkan melalui penghasilan beg tangan premium yang banyak dipromosikan di laman sosial Facebook.
“Sangat berbaloi apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil tangan saya bahkan berulang-ulang tempahan. Tidak dinafikan beg tangan buatan tangan ini memang ada peminatnya yang tersendiri,” katanya. – UTUSAN










