MELAKA: Seorang murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas dekat sini, Muhammad Ilham Hakim Samsur mencuri perhatian apabila memperbaharui rekod kejohanan bagi kategori 40 kilogram (kg) di Kejohanan Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat Melaka Siri 2/2023 di Melaka Mall di sini, baru-baru ini.
Walaupun baru berusia 11 tahun, anak keenam daripada tujuh beradik itu dengan ketinggian 1.4 meter tidak berdepan masalah mengetepikan enam saingan lain untuk merangkul pingat emas, selepas mengangkat bebanan keseluruhan 100kg bagi usia bawah 13 tahun.
Di kejohanan sama di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tahun lalu, Muhamad Ilham Hakim mencipta rekod kejohanan bagi kategori 40kg dengan angkatan keseluruhan seberat 89kg.
“Memang saya sasarkan untuk melepasi angkatan 100kg dan Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.
“Ini adalah berkat usaha menjalani latihan gigih setiap kali balik sekolah di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pemenang pingat perak dimenangi Muhd. Izz Iman dari Perak dengan angkatan 84kg manakala gangsa milik Muhd. Iman Nur Hakim dari Melaka dengan bebanan 56kg.
Muhammad Ilham Hakim berkata, dia mahu mengikut jejak langkah kakaknya, Nurul Syasa Khairina yang memenangi pingat emas dalam acara 49kg di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Katanya, dia bercita-cita menjadi atlet angkat berat kebangsaan tersohor termasuk mahu mencipta nama memenangi pingat di Sukan Olimpik.
“Sukan angkat berat adalah acara paling saya minati dan atas dorongan ayah membuatkan keyakinan saya makin menebal,” katanya. – UTUSAN










