Al-Mukarramah hasil inspirasi Masjid Biru - Utusan Malaysia

Al-Mukarramah hasil inspirasi Masjid Biru

MASJID Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. -UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT memasuki sebuah istana lama di zaman purba. Itu perasaan saya, saat menjejakkan kaki di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara yang terletak dalam daerah Petaling.

Tersergam indah di atas bukit, pembinaan masjid berusia hampir 30 tahun ini diilhamkan daripada Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turkiye atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru.

Contohnya ada 28 kubah kecil di sekeliling kubah utama selain memilih warna pasir di bahagian luar dan dinding masjid.

Setiausaha masjid, Mohamad Hashim Mohd. Taib berkata, antara tarikan adalah lorekan tulisan Asmaul Husna mengelilingi di bahagian kubah serta lekukan putih di dinding kubah yang kelihatan seperti air terjun yang mengalir di dalam masjid.

“Corak dan motif pintu kayu ditempah dari Kelantan. Ada dinding dibina daripada bahan granit bertujuan memisahkan bahagian dalam dan luar masjid.

“Rekaan ini seperti kubu-kubu yang terdapat semasa zaman Kerajaan Uthmaniyah memerintah,” katanya.

Seni bina masjid mencecah RM12 juta itu adalah hasil sentuhan arkitek Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd.

ANWAR LETAK BATU ASAS

Masjid yang boleh menampung 4,000 jemaah pada satu-satu masa itu, mula beroperasi November 1996.

Pembinaan masjid yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan itu dibiayai sepenuhnya oleh pemaju Bandar Sri Damansara, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Ujar Mohamad Hashim, nama asal masjid ini adalah Al-Muhajirin sebelum ditukar nama kepada Masjid Al-Mukarramah pada tahun 2000.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, meletakkan batu asas pada 16 Ogos 1996 manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan masjid ini pada 10 November 2000,” katanya.

SILIBUS UM

Dikenali sebagai masjid kariah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohamad Hashim berkata, seramai 26 ahli jawatankuasa termasuk empat imam bertugas di situ.

Katanya, masjid sentiasa berusaha menarik kehadiran orang ramai khususnya penduduk sekitar untuk mengimarahkannya termasuk mengajurkan kelas pengajian al-Quran berdasarkan silibus universiti.

“Kita bekerjasama dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dan tenaga pengajar terdiri daripada empat pensyarah.

“Kelas pengajian diadakan pada setiap hari Sabtu selama empat semester yang mengambil tempoh selama empat bulan. Ada empat subjek seperti tajwid, tafsir, Ulum al-Quran, dan bahasa al-Quran. Kumpulan pertama dijangka menamatkan pengajian awal tahun depan.

“Kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan pesara dan sehingga kini ada 17 jemaah yang masih mengikuti pengajian di masjid ini dengan yuran dikenakan sebanyak RM550 bagi satu semester,” katanya.

SANTUNI MASYARAKAT

Masjid turut aktif menyantuni masyarakat.

Di bawah biro pendidikan masjid, masjid menyediakan kelengkapan untuk kursus haji di sekolah, penceramah, kursus penyembelihan haiwan, motivasi kerjaya dan pendidikan.

Masjid ini turut terkenal dengan aktiviti iftar semasa bulan Ramadan. Konsep gerai yang disediakan, mencuri tumpuan penduduk di luar kariah ini untuk datang berbuka puasa di sini.

Masjid indah ini bukan sahaja kerap dikunjungi pelancong, tetapi turut menjadi pilihan artis untuk merakamkan video muzik serta lokasi bergambar bagi pasangan pengantin dek lokasi dan persekitarannya yang memukau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya