Akta Orang Asli disemak semula - Ahmad Zahid

Parlimen: Akta Orang Asli disemak semula – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksana semakan semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi memperhalusi beberapa peruntukan membabitkan masyarakat itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai permulaan, Kajian Pembangunan Kerangka Perundangan dan Mekanisme bagi Pentadbiran Perkahwinan dan Perceraian Adat Orang Asli di Semenanjung yang sudah bermula sejak Jumaat lalu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, isu tanah Orang Asli turut diambil kira kerana melibatkan perbezaan dan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Strategi bagi memajukan masyarakat Orang Asli sudah digariskan dalam Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi golongan berkenaan.

“Ia dirangka dalam usaha meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan infrastruktur lengkap di seluruh perkampungan Orang Asli,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai pertambahan pegawai teknikal di Jakoa, Ahmad Zahid berkata, ia menjadi antara hala tuju perjawatan jabatan berkenaan selain perkara itu sudah dibincang di peringkat kementerian.

“Pihak Jakoa sudah melakukan perancangan bagi pelantikan pegawai teknikal secara perkhidmatan kontrak (COS) dan sudah memohon peruntukan bagi tujuan berkenaan pada 2024.

“Jakoa ketika ini turut melantik Personel MySTEP dalam bidang kejuruteraan sebagai inisiatif jangka pendek bagi mengatasi kekangan kekurangan tenaga kerja teknikal di jabatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 153 inisiatif yang relevan dan praktikal untuk dilaksana sudah digariskan yang muncul sebagai langkah pencegahan salah guna kuasa, isu integriti, tadbir urus dan rasuah di Pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Katanya, indikator terhadap keberkesanannya dapat dilihat melalui keputusan Auditan Pengurusan Amalan Nilai di jabatan dan agensi kerajaan dikendali Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara dwitahunan.

“Antara perkara diambil kira dalam audit ini adalah kajian kepuasan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan disampaikan, termasuk elemen ketelusan dan integriti dalam urusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN