Unit polis bantuan pertama ditubuh sektor koperasi perladangan

Unit polis bantuan pertama ditubuh sektor koperasi perladangan

YAHAYA Othman menandatangani plak perasmian Pejabat Polis Bantuan Kosma di Keratong, Muadzam Shah, Rompin, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi koperasi perladangan pertama di Pahang yang menubuhkan unit polis bantuan bagi memperkukuh tahap keselamatan di kawasan operasinya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha proaktif syarikat berkenaan dalam memastikan keselamatan pekerja, aset syarikat dan kawasan ladang sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, penubuhan unit berkenaan adalah perkembangan positif yang wajar dicontohi syarikat dan koperasi lain.

“Pada peringkat awal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meluluskan penempatan 23 anggota polis bantuan bagi menggerakkan operasi keselamatan di kawasan ladang Kosma.

“Jumlah ini melibatkan seorang pegawai dan 22 anggota dan ia boleh ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta justifikasi yang dikemukakan pihak pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan pejabat Polis Bantuan Kosma bernilai RM300,000 di Kompleks Kosma Keratong di sini, semalam.

Kelulusan penubuhan Polis Bantuan Kosma sudah diperoleh daripada Ketua Polis Negara pada 25 Julai 2025 sekali gus menjadi model kepada syarikat perladangan lain di negara ini.

Yahaya berkata, kewujudan balai pengawal tersebut memberi kemudahan kepada anggota polis bantuan untuk berkumpul, menerima taklimat serta menyelaras operasi keselamatan harian dengan lebih sistematik.

Menurutnya, semua anggota polis bantuan itu juga akan menjalani latihan secara berterusan yang dikendalikan oleh pihak polis menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Latihan berterusan ini penting bagi memastikan setiap anggota mempunyai tahap kecekapan tinggi termasuk dari segi pengendalian tugas, latihan menembak, rondaan dan tindakan awal ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamed berkata, hubungan baik antara koperasi itu dan PDRM menjadi asas penting dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan organisasi dan meningkatkan keselamatan di kawasan perladangan serta operasi.

Katanya, Kosma komited menyediakan suasana kerja yang yang selamat dan harmoni kepada seluruh kakitangan dan tenaga asing yang menjadi asas penting produktiviti dan kestabilan operasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN