LONDON: Penantian Arsenal selama 22 tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menemui titik nokhtah selepas pencabar utama mereka, Manchester City sekadar seri 1-1 menentang Bournemouth, semalam.
Keputusan tersebut memastikan skuad kendalian Mikel Arteta itu tidak lagi mampu dipintas City biarpun saingan liga masih berbaki satu perlawanan.
Kejayaan itu turut menamatkan kemarau trofi liga Arsenal sejak kali terakhir muncul juara pada musim 2003/2004 ketika era kegemilangan Arsene Wenger dan pasukan “Invincibles”.
Sebelum itu, Arsenal semakin hampir ke arah kejuaraan selepas menewaskan Burnley 1-0, kelmarin untuk melebarkan jurang lima mata di puncak liga.
Selepas tewas kepada City bulan lalu, The Gunners bangkit cemerlang dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi.
Pengurus City, Pep Guardiola turut mengakui Arsenal layak bergelar juara musim ini.
“Tahniah kepada Arsenal, Arteta, pemain dan seluruh penyokong mereka. Mereka benar-benar layak memenangi liga,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Vitality, Bournemouth terlebih dahulu mengejutkan City menerusi jaringan Eli Junior Kroupi pada minit ke-39.
Pemain muda itu mencipta rekod baharu selepas meledak gol ke-13 musim ini dalam saingan EPL, sekali gus muncul remaja paling prolifik dalam musim pertamanya.
City hanya mampu menyamakan kedudukan menerusi Erling Haaland pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut gagal mengubah nasib mereka dalam perebutan kejuaraan.
Di Stadium Emirates, ribuan penyokong Arsenal meraikan kejayaan penuh bersejarah itu dengan nyanyian dan suar merah memenuhi ruang stadium.
Malah, Perdana Menteri Britain yang juga penyokong Arsenal, Keir Starmer turut menzahirkan kegembiraan menerusi media sosial.
“22 tahun yang panjang buat Arsenal tetapi akhirnya kami kembali ke tempat sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, masa depan Guardiola terus menjadi tanda tanya selepas timbul laporan dia dijangka meninggalkan City hujung musim ini selepas sedekad membimbing kelab tersebut.
Kemenangan Piala FA ke atas Chelsea hujung minggu lalu menghadiahkan trofi ke-20 buat Guardiola sepanjang bersama City, namun dia kini berdepan kemungkinan menamatkan musim tanpa gelaran liga buat dua musim berturut-turut.
Arsenal dijadual menerima trofi EPL secara rasmi selepas aksi terakhir menentang Crystal Palace, Ahad ini.
Malah, skuad Arteta masih berpeluang melengkapkan musim gemilang apabila bakal beraksi dalam final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain hujung bulan ini. – AFP










