Ahmad Terrirudin mulakan tugas Peguam Negara,

Ahmad Terrirudin mulakan tugas Peguam Negara, berjanji akan tunai amanah sebaik mungkin

AHMAD Terrirudin Mohd. Salleh ketika mengetik perakan masa sebaik melaporkan diri sebagai Peguam Negara baharu di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh menegaskan bahawa beliau akan melaksanakan segala tugas yang diberikan kepadanya sebaik mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Jabatan Peguam Negara, beliau yang memulakan perkhidmatan perundangan pada 1995 itu juga berterima kasih kepada pihak kerajaan.

“Insya-Allah saya akan menunaikan setiap amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya sejurus mengetik perakam masa bagi melaporkan diri di sini hari ini.

Ahmad Terrirudin, 54, menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang kontrak perkhidmatannya berakhir semalam setelah dilantik memegang jawatan itu bermula pada 6 Mac 2020 lalu.

Pelantikannya sekali gus menamatkan spekulasi dan mengembalikan semula kedudukan Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara itu sendiri.

Kali terakhir jawatan ini disandang ‘orang dalam’ agensi tersebut ialah pada 2015 setelah Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan secara tiba-tiba atas faktor kesihatan.

Tempatnya diambil alih Tan Sri Mohamed Apandi Ali sehingga 2018 sebelum dipegang oleh Tan Sri Tommy Thomas hanya selama dua tahun sahaja dan kemudiannya Idrus.

Berdasarkan rekod jabatan berkenaan, Ahmad Terrirudin merupakan penyandang ke-13 jawatan itu sejak diwujudkan pada 1955 dengan individu pertama ialah Thomas Brodie.

Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kerajaan Malaysia selain pendakwa raya bagi pihak kerajaan selaras Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau yang sebelum itu ialah Peguam Cara Negara, iaitu jawatan kedua paling tinggi di jabatan tersebut, merakamkan penghargaan kepada semua petugasnya.

“Terima kasih kepada semua warga kerja jabatan ini atas sokongan anda dan juga kepada kerajaan Malaysia serta perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya