Ahli perniagaan Malaysia jadi dalang penipuan kerja di Myanmar

Ahli perniagaan Malaysia jadi dalang penipuan kerja di Myanmar

HISHAMUDDIN Hashim (kiri) bersama mangsa yang dibawa pulang dari Myanmar di Terminal 2, KLIA Sepang, kelmarin. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang ahli perniagaan terkenal warga Malaysia dipercayai menjadi dalang dalam kes jenayah penipuan pekerjaan di Myanmar.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan licik ahli perniagaan itu berjaya mempengaruhi keluarga mangsa sehingga sanggup membayar hampir RM1 juta kepada­nya.

Katanya, ahli perniagaan itu meyakinkan keluarga mangsa bahawa dia mampu berunding dengan sindiket terbabit bagi membebaskan mangsa tetapi dengan membayar wang tebusan puluhan ribu ringgit.

“Ada juga kes seorang bapa terpaksa menggadaikan tanah pusaka miliknya demi menyelamatkan anak di luar negara dan sudah bayar RM90,000 kepada sindiket tetapi mangsa masih lagi tidak bebas sebelum melaporkan kepada MHO.

“Sebenarnya ahli perniaga­an itu hanya mengeksploitasi pen­deritaan keluarga dengan me­ngambil sejumlah wang tebusan namun tidak pula dibayar kepada sindiket itu, malah ahli perniagaan itu sebenarnya tidak pernah pun menawarkan sebarang tebu­san bagi pembebasan mangsa yang dibawa ke Myanmar.

“Sebaliknya mangsa akan di­kerah bekerja sebagai penipu atas talian dengan diawasi sekumpulan samseng rakyat Malaysia yang bersekongkol dalam kegiatan je­nayah itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyambut kepulangan seorang mangsa berusia 24 tahun yang tiba kira-kira pukul 9.57 malam kelmarin setelah menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK 0893 dari Bangkok, Thailand.

Dia yang berasal dari Pulau Pinang itu dijanjikan pekerjaan di ibu kota negara jiran itu juga merupakan mangsa paling pantas diselamatkan iaitu hanya 30 hari selepas kes dilaporkan kepada badan tersebut.

Dia berjaya dibebaskan menerusi misi khas MHO yang hampir meragut nyawa aktivisnya, Azirul Shafiq Sazali sebelum dapat diselamatkan askar Thailand di sempadan.

“Setakat ini kami merekodkan ada lagi 30 mangsa yang terkandas di Myanmar dengan ada sudah berada di sana lebih setahun kerana belum dapat diselamatkan lagi,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan wa­ris keluarga kepada anak mereka yang terjebak sebagai mangsa dalam jenayah penipuan pekerjaan di luar negara agar tidak sekali-kali membayar tebusan kepada mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN