PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90.
Istana Negara dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan itu khusus untuk seluruh warga angkatan tentera, veteran angkatan tentera dan semua yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurah oleh seluruh warga dan bekas anggota tentera Malaysia.
“Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurah oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira ATM yang terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” katanya.
Hari ATM disambut setiap 16 September dengan tema sambutan tahun ini ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’. -UTUSAN










