Agong, Raja Permaisuri zahir dukacita gempa bumi Maghribi

Agong, Raja Permaisuri zahir dukacita gempa bumi Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi gempa bumi di Maghribi pada minggu lalu.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Maghribi serta mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera, manakala mereka tercedera dikurniakan kesembuhan segera.

Katanya, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Raja Mohammed VI, kerajaan Maghribi dan rakyatnya atas musibah yang melanda dengan kehilangan nyawa ribuan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi tersebut serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Istana Negara menerusi satu hantaran Facebook hari ini.

Pada Jumaat lalu, Maghribi digegarkan dengan bencana gempa bumi terburuk dalam tempoh dua dekad yang mengorbankan ribuan nyawa.

Dilaporkan, sehingga kini seramai 2,862 orang terkorban manakala 2,500 orang yang cedera.

Antara wilayah yang terjejas teruk termasuk Al Haouz, Ouarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN