9,200 jururawat India, Filipina masuk Malaysia

9,200 jururawat India, Filipina masuk Malaysia

DR. KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 9,200 jururawat Filipina dan India akan memasuki Malaysia bagi memenuhi permintaan 220 hospital swasta yang kekurangan tenaga kerja itu untuk menyokong perkhidmatan kesihatan negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi pengecualian dengan membuka kelayakan pasca asas jururawat luar negara bekerja di hospital-hospital swasta bermula 1 Oktober ini hingga 30 September 2024.

Katanya, APHM menerima surat daripada Pendaftar Lembaga Kejururawatan KKM berhubung perkara itu bagi tempoh berkenaan dengan lanjutan tambahan boleh diberikan berdasarkan permohonan semula dan kelulusan.

Kata beliau, kebenaran tersebut sekali gus mengurangkan tekanan di hospital swasta akibat kesesakan berterusan dan ia membolehkan hospital swasta menambah lebih banyak katil.

“Jumlah 9,200 ini dibawa masuk secara berperingkat untuk tempoh 2023 hingga 2025 berdasarkan keperluan utama 103 daripada 220 hospital swasta yang bernaung di bawah APHM.

“Majoriti jururawat asing yang dibawa masuk adalah dari India dan Filipina yang menyatakan kesediaan untuk bekerja di negara ini. Ia memandangkan tiada jururawat tempatan yang mahu bekerja. Jururawat asing ini akan dibayar sama dengan jururawat tempatan sedia ada,” katanya di sini semalam.

Pada Mei lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa KKM bersedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara bagi membantu sektor swasta mengatasi kekurangan tenaga kerja itu.

Kuljit berkata, sebelum ini pihaknya membangkitkan isu berkenaan berulang kali kepada kerajaan untuk memberikan ‘pelepasan’ kepada Klausa 5 garis panduan Bahagian Kejururawatan KKM mengenai pengambilan jururawat asing terlatih.

Katanya, hospital swasta mengalami kekurangan jururawat yang serius dan pengambilan jururawat dari luar negara mampu membantu hospital swasta merawat lebih ramai pesakit sekali gus menyokong kerajaan sebagai sebahagian daripada dasar perkongsian awam-swasta.

Pada masa sama, pesakit yang mendapatkan penjagaan peribadi melalui perkhidmatan fasiliti swasta kini akan boleh mendapat akses lebih baik dan kemasukan lebih awal berbanding perlu melalui tempoh menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dengan katil tersedia.

“Kami hanya meminta dua hingga tiga tahun untuk mengisi kekosongan sebelum pusat pengajian kejururawatan dapat memenuhi permintaan itu apabila pelajar sudah tamat pengajian dan bersedia untuk bekerja.

“Beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya berikutan wabak Covid-19, permintaan untuk jururawat terlatih meningkat secara berterusan kerana jururawat tempatan mahir berhijrah ke luar negara kerana mendapat gaji lebih tinggi di negara lain,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penghijrahan jururawat ke luar negara terus melonjak susulan banyak negara membuka pasaran buruh berkenaan dengan tawaran gaji lumayan selain memberi kelonggaran dalam pemakaian hijab. -UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN