Untung bersih separuh pertama Petronas RM40.2 bilion

Untung bersih separuh pertama Petronas RM40.2 bilion

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (tengah) menunjukkan laporan prestasi kewangan Petronas bagi Separuh Pertama 2023 pada sidang akhbar di Menara Berkembar Petronas, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM40.2 bilion bagi tempoh separuh pertama 2023, susut 13 peratus daripada RM46.4 bilion yang direkodkan sepanjang tempoh sama tahun lalu, terutama disebabkan purata harga tenaga yang lebih rendah.

Hasil syarikat minyak dan gas negara itu dalam tempoh dikaji turut merekodkan penurunan kecil kepada RM170.3 bilion daripada RM170.4 bilion pada separuh pertama 2022.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, hasil menurun sebanyak 13 peratus kepada RM79.9 bilion dalam persekitaran harga rendah berbanding suku kedua 2022, membawa kepada untung bersih lebih rendah kepada RM16.4 bilion daripada RM23 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM57.8 bilion, iaitu tujuh peratus lebih rendah daripada RM62.4 bilion sebelum ini, sejajar dengan keuntungan yang dijana semasa tempoh lepas.

Mengulas prestasi kewangan Petronas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kumpulan itu berjaya mengekalkan prestasi perniagaan walaupun berdepan persekitaran harga yang tidak menentu pada separuh pertama 2023.

“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan bakal menghadapi masalah yang semakin sukar, termasuk pasaran tenaga yang lemah sepanjang tahun berikutan aktiviti ekonomi global yang perlahan.

“Kami akan terus meningkatkan pelaburan dalam perniagaan teras, walaupun mengurangkan pelepasan karbon sambil melabur dalam tenaga yang lebih bersih untuk memastikan keteguhan portfolio kumpulan, sejajar dengan Strategi Peralihan Tenaga kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Tengku Muhammad Taufik memaklumkan, pihaknya akan menggandakan usaha membina daya tahan bagi menyampaikan nilai mampan jangka panjang sebagai syarikat minyak negara dan berkembang sebagai pemain tenaga global.

“Melangkah ke hadapan, Petronas menjangkakan harga minyak dan gas kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh masalah ekonomi yang berterusan dan kebimbangan keselamatan tenaga.

“Di tengah-tengah cabaran ini, Petronas kekal teguh dalam menyampaikan tenaga secara bertanggungjawab serta menyokong agenda pertumbuhan dan kemampanannya, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, minyak mentah Brent dijangka bergerak antara AS$70 dan AS$80 setong dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pelaburan Modal (Capex) berjumlah RM21.4 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM18.9 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh projek huluan dan perniagaan baharu.

Capex domestik meningkat sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas terutamanya untuk pelaburan dalam Projek LNG Terapung Berdekatan (ZLNG) di Sabah dan Pembangunan Medan Gas Kasawari di Sarawak.

Sementara itu, dalam tempoh enam bulan pertama 2023, jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM742 bilion berbanding RM 710.6 bilion pada 31 Disember 2022.

Ekuiti pemegang sahamnya meningkat kepada RM410 bilion pada 30 Jun 2023 berbanding RM401.6 bilion pada 31 Disember 2022 terutamanya disebabkan oleh keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham yang dicatatkan dalam tempoh tersebut.

Perniagaan gas telah menghantar 200 kargo LNG daripada Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu dan 19 kargo LNG daripada PFLNG Satu dan PFLNG Dua kepada pelanggan di seluruh dunia.

Segmen itu juga telah menyampaikan 2,214 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) purata volum gas jualan di Semenanjung Malaysia.

Sehingga suku kedua 2023, Petronas merekodkan pelepasan gas rumah hijau terkumpul sebanyak 23.04 juta tan setara karbon dioksida (Mil tCO2e) untuk operasi Malaysia, iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN