PETALING JAYA: Beberapa perkara pokok dalam rundingan antara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) sudah dipersetujui dan perjanjian antara kedua-dua syarikat itu dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip asas rundingan berkenaan diputuskan bersama beliau dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, rundingan itu bertujuan memastikan kepentingan Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak serta kedua-dua syarikat tenaga berkenaan terus dipelihara.
“Saya akui kadangkala perbincangan antara kedua-dua syarikat dan delegasi mengambil masa.
“Namun, saya sukacita mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya beberapa perkara pokok sudah dipersetujui dan saya berharap, insya-Allah, tidak lama lagi kita dapat memuktamadkan perjanjian Petronas-Petros,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Bintulu, Sarawak, hari ini.
Anwar berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak tidak berlaku melalui ugutan atau tekanan seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau berkata, perbincangan berlangsung secara terbuka bagi memberikan ruang dan manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, belum pernah saya menerima ugutan daripada Sarawak.
“Yang ada ialah pandangan, teguran dan perbincangan. Kadangkala terdapat pendirian yang tegas, tetapi itu perkara biasa dalam negara demokrasi.
“Tidak ada tekanan. Yang ada ialah rundingan dan pandangan yang mewakili kepentingan anak-anak Sarawak,” katanya. – UTUSAN










