PETALING JAYA: Kejayaan memperluas peranan syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam sektor tenaga Turkmenistan membuka akses Malaysia kepada antara rizab gas terbesar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global.
Katanya, kejayaan berkenaan mencerminkan keyakinan tinggi Turkmenistan terhadap keupayaan Malaysia serta rekod cemerlang Petronas yang sudah bertapak dan beroperasi di negara tersebut selama tiga dekad.
“Paling utama, kejayaan diplomasi tenaga negara diterjemahkan melalui pengukuhan peranan Petronas serta pemeteraian beberapa perjanjian penting yang bakal memperluas penglibatan Malaysia dalam sektor minyak dan gas Turkmenistan.
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Malaysia serta rekod cemerlang Petronas yang telah bertapak dan beroperasi di Turkmenistan selama tiga dekad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, pengukuhan peranan Petronas berpotensi menjamin bekalan gas dan tenaga Malaysia untuk jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar.
Beliau berkata, manfaat ekonomi daripada kerjasama tersebut mungkin tidak diperoleh serta-merta, namun berpotensi menjana pendapatan yang signifikan kepada negara dalam jangka panjang.
Katanya, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil rundingan yang dimulakan sejak lawatan beliau ke Turkmenistan pada Disember 2024.
“Saya telah mengemukakan kepada Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov mengenai kepentingan memberikan peranan lebih besar kepada Petronas dalam pembangunan industri minyak dan gas Turkmenistan.
“Jaminan awal yang diberikan ketika itu kini diterjemahkan melalui perjanjian yang dimeterai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, lawatan berkenaan turut menyaksikan pertukaran 12 dokumen penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dengan Turkmenistan.
Antaranya memorandum persefahaman (MoU) antara akademi sains kedua-dua negara, pihak berkuasa penerbangan, latihan diplomat serta Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dengan institusi pengajian tinggi Turkmenistan.
Turut dimeterai ialah Perjanjian Perkhidmatan Udara Malaysia-Turkmenistan dan Kenyataan Bersama Malaysia-Turkmenistan.
Menurut beliau, pertemuan dua hala bersama Serdar turut membincangkan usaha memperluas peluang perdagangan dan pelaburan dalam industri halal, pembuatan bernilai tinggi serta sektor perkhidmatan.
Katanya, kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat dan kesalinghubungan penerbangan turut diberikan perhatian.
“Lawatan ini membuktikan eratnya persahabatan Malaysia-Turkmenistan, di samping membuka peluang kerjasama strategik yang lebih luas.
“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan mengangkat hubungan Malaysia-Turkmenistan ke tahap lebih kukuh demi kemakmuran rakyat dan kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN










