Petronas perkasa minat STEM 661 murid luar bandar di Muadzam Shah - Utusan Malaysia

Petronas perkasa minat STEM 661 murid luar bandar di Muadzam Shah

PESERTA mencuba aktiviti pembinaan kereta berkuasa angin dalam sesi bengkel Program Memperkasakan Ilmu: STEM Outreach 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan, Muadzam Shah di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Petronas terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan apabila menganjurkan Program Memperkasakan Ilmu: STEM Outreach 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan, Muadzam Shah, melibatkan 661 murid prasekolah dan sekolah rendah dari sembilan sekolah sekitar daerah ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) itu bertujuan memperluaskan akses pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar luar bandar yang berdepan kekangan kemudahan, jarak dan kos.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan murid luar bandar turut menikmati peluang pembelajaran lebih luas dan pendedahan kepada aplikasi ilmu STEM dalam kehidupan sebenar.

“Melalui pendekatan interaktif, murid berpeluang menyertai demonstrasi sains, bengkel, pameran dan permainan berasaskan STEM yang memberi pengalaman berbeza daripada suasana bilik darjah konvensional,” katanya pada Program Memperkasakan Ilmu: Program STEM Outreach 2026 di SK Bukit Ridan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli menegaskan, pendedahan awal sebegini mampu memupuk minat dan keyakinan murid untuk meneroka bidang STEM sebagai asas masa depan mereka.

Yang Dipertua PIBG SK Bukit Ridan, Mohd. Jaafar Ramli pula berkata, kehadiran murid dari sekolah sejauh hampir 80 kilometer membuktikan permintaan tinggi terhadap program STEM dalam kalangan komuniti luar bandar.

Beliau menambah, program julung kali diadakan di sekolah itu membuka akses kepada pengalaman pembelajaran STEM yang lebih menyeronokkan kepada murid yang sebelum ini mempunyai peluang terhad.

“Kesanggupan murid dan guru hadir dari pelbagai lokasi menunjukkan program ini begitu diperlukan. Ia bukan sahaja memperluaskan pendedahan kepada bidang STEM, malah memberi inspirasi kepada murid untuk meneroka potensi mereka,” katanya.

Petronas menyasarkan sekolah berbeza setiap tahun bagi memastikan impak program dapat diperluaskan. Sejak 2014, inisiatif pendidikan STEM syarikat itu memberi manfaat kepada lebih 66,000 pelajar di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN