GLC, GLIC terus perkukuh agenda pembangunan bumiputera RM50b setahun

GLC, GLIC terus perkukuh agenda pembangunan bumiputera RM50b setahun

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Petronas akan terus memperkukuh agenda pembangunan bumiputera menerusi sumbangan kira-kira RM50 bilion setahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau, sumbangan tersebut meliputi pelaburan langsung, pembangunan vendor, pembangunan bakat serta pembangunan komuniti bagi memperkukuh agenda pembangunan bumiputera negara.

“Pada tahun ini, empat syarikat majoriti milik bumiputera berada dalam saluran untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Manakala sasaran 10 penyenaraian baru bagi tempoh 2026-2027 telah ditetapkan, mengatasi pencapaian sepanjang lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran tersebut, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama GLIC diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai 500 juta ringgit setiap satu menjelang tahun 2028.

“Semestinya komitmen GLIC dan GLC turut diperkukuh melalui sasaran pelaburan langsung sebanyak RM2 bilion ke dalam syarikat Bumiputera pada tahun 2026. Di samping itu, garis panduan pembangunan vendor Bumiputera yang baharu diperkenalkan bagi memperkukuh saluran serta meningkatkan kapasiti vendor secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan memaklumkan bahawa operasi pelabuhan Persekutuan terus mencatat pertumbuhan positif apabila kendalian kontena meningkat 8.1 peratus kepada 8,002,113 unit bersamaan 20 kaki (TEU), pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan tersebut didorong oleh peranan Malaysia sebagai hab penghubung utama perdagangan dunia menerusi aktiviti pemunggahan pindah kapal (transshipment).

“Aktiviti transshipment mencatat pertumbuhan sebanyak 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025. Manakala kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang meningkat 3.55 peratus,” katanya.

Fahmi berkata, pencapaian itu membuktikan daya tahan sektor pelabuhan negara walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN