TVET maritim turut tawar peluang pekerjaan baik

TVET maritim turut tawar peluang pekerjaan baik

MUSTAFA Abdul Wahab (berdiri, tengah) bersama kru kapal KKN Sea Hunt turut mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan ketika program Boat and Tour Go Green Eco Travel with Boat House di Jeti Semeling, Bedong Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bidang maritim khususnya industri perkapalan turut menawarkan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mampu menyediakan peluang pekerjaan baik untuk direbut golongan muda.

Sektor tersebut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan termasuk berkaitan kimpalan, komunikasi dan isyarat asas, sistem elektrik, asas pemanduan bot, asas enjin marin serta teknik simpulan dan tali yang boleh dipelopori lepasan sekolah menengah.

Pengerusi Jom Bina Semula Ekonomi Negara (JBSEN), Datuk Kapten Mustafa Abdul Wahab berkata, banyak peluang ditawarkan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Laut bagi membolehkan mereka yang berminat menyertai bidang itu.

“Saya melihat ini peluang yang besar kepada anak-anak muda kerana industri perkapalan antara yang boleh diketengahkan kepada mereka. Bukan hanya di Malaysia tetapi sesiapa yang memiliki sijil kelayakan akan diterima sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kalau kita lihat orang Thailand dan Myanmar ramai yang ambil kesempatan menceburi bidang-bidang ini dengan syarikat besar sedangkan pelajaran yang ditimba mereka kalau dibandingkan dengan apa yang Jabatan Laut sediakan jauh lebih baik kepada rakyat kita,” katanya kepada pemberita pada program Boat and Tour Go Green Eco Travel with Boat House KKN Sea Hunt di Jeti Semeling, Bedong di sini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam TVET.

Angka tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia untuk melahirkan pekerja berkemahiran sekiranya institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.

Tambah Mustafa, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, perhatian sewajarnya perlu diberikan bukan sahaja kepada industri perkapalan tetapi golongan nelayan yang masih kekal dalam pekerjaan tradisi mereka.

“Saya sendiri menghadiri kursus untuk layak sebagai kompeten dalam bidang ini kerana sesuatu sijil khas untuk sesuatu peringkat sahaja dan kalau golongan profesional pun nampak untuk jana pendapatan jadi bagaimana golongan nelayan dan anak-anak mereka.

“Adakah mereka masih terbelenggu dengan keadaan dapat ikan di tengah laut dan jual ikan di darat, sebab itu JSBEN mahu bersama-sama pihak berkaitan untuk menggerakkan pemikiran anak-anak nelayan agar dikembangkan lagi kerana mereka ada kemahiran asas,” katanya.

Tambahnya, JSBEN juga boleh menjadi pemudah cara kepada mereka yang berminat dalam bidang maritim untuk menceburkan diri bagi menjana pendapatan yang sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing.

“Permintaan pasaran cukup luas, Jabatan Laut khususnya buka ruang kepada anak-anak nelayan cuma keberkesanan mungkin tak sampai ke bawah. Jadi saya bersama pasukan JSBEN akan bersama kerajaan untuk perluaskan lagi bidang ini.

“Isu kos untuk melanjutkan pelajaran dan sebagainya diharapkan agar kerajaan beri perhatian kepada anak-anak muda yang minat kerana kita mahu menggalakkan mereka memiliki sijil profesional,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN