KUANTAN: Sebuah syarikat pembekal dan pemborong hasil laut yang berpangkalan di Rompin, dekat sini dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, hari ini atas 164 pertuduhan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM3.3 juta.
Atong Fishing Sdn. Bhd. yang diwakili tiga pengarahnya, Cheng Chor Tong, 71, Cheng Thee Yong, 49, dan Cheng Thee How, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa berurusan membeli secara borong lebih dua juta liter minyak diesel bersubsidi daripada sebuah persatuan nelayan kawasan tanpa memiliki lesen borong yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Feri Lama, Kampung Tanjung Gemuk, Kuala Rompin antara 8 Januari 2024 hingga 13 Januari lalu.
Berdasarkan resit rasmi persatuan nelayan berkenaan, nilai pembelian diesel terbabit melibatkan transaksi antara RM9,900 sehingga lebih RM101,000 membabitkan 6,000 hingga lebih 61,000 liter diesel bersubsidi.
Pendakwaan dibuat mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961. Selain itu, syarikat terbabit turut berdepan pertuduhan gagal mematuhi syarat permit barang kawalan berjadual apabila menyimpan diesel melebihi had 60,000 liter yang dibenarkan.
Bagi kesalahan tersebut, syarikat itu didakwa mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Munirah Shamsuddin@Baharum dan Mohd. Sophian Zakaria manakala peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi mewakili syarikat berkenaan.
Mahkamah membenarkan semua pengarah syarikat diikat jamin RM45,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di KPDN Pahang. Mahkamah turut mengarahkan semua pasport diserahkan sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










