Tipu pekerjaan : 5 dicekup anggaran kerugian RM1.8 juta

Tipu pekerjaan : 5 dicekup anggaran kerugian RM1.8 juta

MANCHA (dua dari kiri) menunjukkan kesemua barangan rampasan yang digunakan oleh suspek dalam operasi penipuan terbabit, dalam sidang media di IPK Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya menangkap lima individu suspek terlibat dalam menjalankan operasi di pusat panggilan pekerjaan (calling center job scam), dengan nilai kerugian dianggarkan RM1.8 juta.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata serbuan terbabit telah membawa kejayaan tangkapan di dua buah unit kondominium yang beroperasi sebagai pusat panggilan berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam dua unit kediaman tersebut, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas 4 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 20-an.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga telah menjumpai (45) keping kad ATM pelbagai akaun bank; (21) telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kenderaan, tiga set komputer, serta dua set modem dan penghala (router) wifi,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket penipuan tersebut dipercayai beroperasi sejak Jun tahun ini, serta menyasarkan golongan warga tempatan dan Indonesia sekali gus membawa jumlah kerugian yang dianggarkan sebanyak RM1.8 juta.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak jun 2023, dengan sasaran daripada golongan warga tempatan dan warganegara Indonesia.

“Berdasarkan laporan, dianggarkan kerugian keseluruhan mangsa penipuan dalam talian sindiket ini berjumlah RM1.8 juta,” tambahnya lagi.

Mancha berkata, semua suspek yang ditahan kini direman selama empat hari (bermula 8 hingga 12 Ogos 2023).

“Kes kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan.

“Selain itu, kes ini juga disiasat dibawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai calling centre dengan menjalankan kegiatan pengawalan akaun bank dan buat pemindahan wang dari akaun bank mangsa penipuan kerja sambilan di YouTube like and share” ke akaun bank yang ditetapkan dalam satu group aplikasi Telegram.

“PDRMmenasihati orang ramai agar tidak mudah tertarik dan terpedaya dengan sesuatu tawaran kerja melalui media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti komisyen dan pulangan duit yang tinggi, bayaran kerja lebih masa.

“Selain itu, orang ramai turut disarankan agar membuat semakan terperinci sekiranya menerima apa-apa tawaran dari individu yang tidak dikenali terutamanya menerusi Internet,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN