Tiga ADUN wanita dilantik Exco, Aminuddin umum 11 portfolio - Utusan Malaysia

Tiga ADUN wanita dilantik Exco, Aminuddin umum 11 portfolio

AMINUDDIN Harun (tengah) bersama 10 orang ADUN yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah semalam. – GAMBAR/JABATAN PENERANGAN NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Negeri Sembilan mencipta sejarah apabila seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita dilantik dalam 10 orang yang dipilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baharu semalam.

Mereka ialah ADUN Bukit Kepayang yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon; ADUN Pilah yang juga Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim dan ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyenaraian tiga orang ADUN tersebut sesuatu yang baik dan mencapai hasrat untuk penyer­taan 30 peratus wanita dalam pentadbiran kerajaan.

“Ini pencapaian yang tidak disangkakan di mana mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam pentadbiran, ini pertama kali dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang ada tiga orang wanita,” katanya.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pelantikan dan Me­ngangkat Sumpah Jawatan yang diadakan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini semalam.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, ADUN Pertang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilantik sebagai Exco Kanan.

Terdahulu dalam sidang akhbar khas selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di Wisma Negeri, Aminuddin meng­umumkan 11 portfolio bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau turut memegang Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan, Kewangan, Tanah dan Sumber Alam, Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam.

Jalaluddin pula dilantik sebagai Exco Kanan bagi portfolio Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

Turut dilantik sebagai Exco ialah ADUN Bahau, Teo Kok Seong yang memegang portfolio Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam; ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim pula dilantik memegang portfolio Pendidikan dan Modal Insan.

Noorzunita Begum meme­gang portfolio Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala ADUN Nilai, J. Arul Kumar memegang portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan.

Selain itu, ADUN Palong, Mustapha Nagoor memegang portfolio Pembangunan Belia dan Sukan.

Nicole Tan memegang portfolio Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan ADUN Repah, S. Veerapan pula bagi portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

Dua lagi iaitu ADUN Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli diberi tanggungjawab memegang portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital manakala Tengku Zamrah pula akan memegang portfolio bagi Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×