GOMBAK: Ketibaan peti undi kedua di pusat penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Sungai Tua menyaksikan undi majoriti memihak kepada calon pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dengan 101 undi.
Ini walaupun calon berkenaan terpaksa menentang calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang jelas mempunyai lebih banyak keistimewaan selaku kerajaan semasa.
Mengikut penjumlahan undi rasmi setakat pukul 7.30 petang ini, Muhammad Hanif mendapat 241 undi berbanding Amirudin iaitu 140 undi.
Calon Bebas, G. Suman pula hanya mendapat satu undi.
Ketika ini, hanya dua daripada 86 peti undi yang tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, di sini.
Amirudin berdepan saingan tiga penjuru dalam PRN Selangor menentang Muhammad Hanif dan Suman.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, Pas dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.-UTUSAN