New Zealand sasar hapus kucing liar menjelang 2050

New Zealand sasar hapus kucing liar menjelang 2050

KUCING liar dianggap sebagai ancaman kepada hidupan liar asli di New Zealand. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: New Zealand merancang membasmi kucing liar menjelang 2050, sekali gus mengulangi hasrat yang pernah mencetuskan tentangan hebat daripada aktivis hak haiwan sedekad lalu.

Menteri Pemuliharaan, Tama Potaka, pada Jumaat mengumumkan kucing liar kini dimasukkan ke dalam strategi Predator-Free 2050, kali pertama spesies pemangsa baharu ditambah sejak dasar itu diperkenalkan pada 2016.

Walaupun kucing liar sudah pun ditangkap dan dimusnahkan di beberapa kawasan, spesies yang berada dalam senarai strategi tersebut akan menjadi sasaran koordinasi besar-besaran melalui program pembasmian serta penyelidikan.

Dianggarkan lebih 2.5 juta kucing liar berkeliaran di kawasan belantara dan pulau-pulau luar pesisir New Zealand.

Haiwan ini boleh membesar sehingga satu meter panjang termasuk ekor dan berat sehingga tujuh kilogram.

Kucing liar didapati memusnahkan hidupan liar asli, termasuk memburu spesies Pukunui atau Southern dotterel di Pulau Rakiura Stewart sehingga hampir pupus, selain membunuh kelawar berhampiran Gunung Ruapehu.

Potaka memberitahu Radio New Zealand ‘pembunuh tanpa belas ini’ kini disenarai bersama mamalia seperti ferret, stoat, weasel, tikus dan possum.

“Untuk meningkatkan biodiversiti, memelihara landskap warisan dan memastikan negara kita kekal seperti yang kita impikan, kita perlu menghapuskan sebahagian pemangsa ini,” katanya.

Kempen untuk memasukkan kucing liar ke dalam strategi itu telah berlarutan selama beberapa tahun dan pernah menerima bantahan besar.

Jabatan Pemuliharaan memberitahu, maklum balas terhadap draf strateginya menunjukkan sokongan padu terhadap kawalan kucing, dengan 90 peratus responden menyokong langkah memasukkan kucing feral dalam senarai atau pengurusan yang lebih ketat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN