GAZA CITY: Tentera Israel didakwa meluaskan zon keselamatan di Gaza apabila meletakkan sejumlah bongkah konkrit berwarna kuning di kawasan penempatan penduduk.
Penduduk di Shujaiya, timur Gaza City memberitahu, bongkah-bongkah tersebut muncul di hadapan rumah mereka sejak Jumaat lalu, dipercayai diletakkan oleh tentera Israel dalam tempoh semalaman.
Ibrahim Farahat berkata, bongkah itu dahulunya berada satu kilometer dari rumahnya, namun kini berada betul-betul di depan pintu.
“Dulu ia jauh. Kini ia semakin dekat, menunjukkan rumah kami boleh dijadikan medan tempur bila-bila masa,” katanya.
Di bawah gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS), tentera Israel sepatutnya berundur dari garisan kuning iaitu garisan sempadan sementara yang ditetapkan sebagai zon keselamatan di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Namun sejak gencatan berkuat kuasa pada 10 Oktober, beberapa insiden maut berlaku apabila penduduk ditembak ketika menghampiri garisan tersebut.
Pengunduran yang sepatutnya mengembalikan keselamatan didakwa penduduk kini berubah menjadi ancaman baharu.
Situasi itu memaksa ramai keluarga di Shujaiya berpindah banyak kali sejak perang bermula lebih dua tahun lalu.
Fadi Shafiq Hararah berkata, tentera Israel menggunakan robot, kren dan kereta kebal untuk memasang bongkah kuning tersebut
Tentera Israel ketika dihubungi AFP mendakwa mereka hanya menandakan garisan sedia ada dan tidak memperluaskannya.
Namun laporan The Wall Street Journal menunjukkan pasukan Israel menambah anggota serta infrastruktur di sepanjang garisan itu.
Hamas menyatakan perubahan garisan pengunduran, digabungkan dengan serangan udara dan tembakan artileri di timur Gaza, mengakibatkan perpindahan besar-besaran penduduk dan menjejaskan proses damai.










