LONDON: Seorang aristokrat kontroversi di Britain mengeluarkan iklan untuk mencari bakal isteri dan menawarkan bayaran 50,000 pound (RM270,697) setahun kepada wanita yang sanggup memberinya pewaris lelaki serta membantu menguruskan estet seluas 526 hektar di Somerset.
Meskipun usianya sudah lanjut, Benjamin Slade, 79, masih enggan berkompromi dan beliau sendiri menetapkan ciri-ciri yang mesti dimiliki bakal Lady Slade.
Syarat pertama ialah umur calon mestilah sekurang-kurangnya 20 tahun lebih muda daripadanya sekali gus menolak permohonan wanita berusia 60-an ke atas.
Benjamin turut menegaskan beliau mencari wanita yang mampu melahirkan sekurang-kurangnya dua pewaris lelaki, meskipun pernah melahirkan anak bukanlah syarat wajib.
“Saya mahukan dua orang anak lelaki, tiga lebih baik. Jika dapat dua sahaja pun sudah memadai.
“Anda sentiasa perlukan ‘lady of the house’. Wanita mengurus rumah. Orang kata ia seksis, tetapi seperti kata Jane Austen, kalau ada rumah besar, perlukan seorang isteri,” katanya.
Bagaimanapun, syaratnya bukan sekadar usia dan kemampuan melahirkan anak.
Calon juga mesti memiliki ketinggian lebih 167 sentimeter, bukan daripada zodiak Scorpio dan tidak membaca akhbar The Guardian.
Beliau turut menolak wanita yang terlalu pemalu sebaliknya, calon mestilah memiliki lesen memandu dan lesen senapang manakala lesen helikopter pula dianggap satu kelebihan.
Dari segi hobi, Benjamin mencari seseorang yang gemar menari ballroom, bermain bridge dan backgammon, serta mahir dalam tugasan pentadbiran.
Calon juga mesti mampu mengurus dua buah istana dan latihan dalam pengurusan estet, perundangan atau perakaunan dianggap sebagai nilai tambah.











