Tiada  laporan 3R sepanjang kempen, pengundian  lancar - Ayon Khan

Tiada  laporan 3R sepanjang kempen, pengundian  lancar – Ayon Khan

AYOB Khan Mydin Pitchay melakukan tinjauan di sekitar Pusat Mengundi Bukit Antarabangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Selangor, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada laporan membabitkan isu agama, raja dan kaum (3R) diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimainkan mana-mana pihak selepas penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 29 Julai lalu sehingga kini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, laporan yang diterima PDRM sepanjang tempoh berkempen hanya beberapa kes membabitkan khianat seperti mengoyak bendera dan poster.

Kata beliau, ada juga laporan diterima membabitkan aktiviti flash mob atau perhimpunan tanpa permit polis.

“Sebanyak 1,770 laporan polis diterima sepanjang Op PRN di enam negeri sejak 1 Ogos lalu sehingga tengah malam tadi. 

“Laporan polis tertinggi direkodkan di Selangor dengan 724  jumlah laporan, diikuti Terengganu (358), Kedah (270), Kelantan (254), Negeri Sembilan (117) dan Pulau Pinang (47),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini hari ini.

Kata beliau, daripada jumlah laporan dibuat, sebanyak 131 kertas siasatan dibuka yang mana 30 siasatan dilakukan di Kedah, diikuti Selangor (28), Terengganu (23), Pulau Pinang (19), Kelantan (18) dan Negeri Sembilan (15).

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 35,000 pegawai dan anggota polis ditempatkan di enam negeri terbabit pilihan raya kali ini termasuk 5,526 daripadanya di Selangor. 

Sementara itu, beliau melawat enam pusat mengundi setakat ini dan keseluruhan proses mengundi berjalan lancar.

“Cuma ada satu insiden dilaporkan di Melawati yang mana ada pengundi yang memakai pakaian lambang parti, namun ia sudah diselesaikan secara baik.

“Di kawasan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, ada tempat (mengundi) merekodkan 10 hingga 18 peratus keluar mengundi setakat ini,”jelasnya.

Beliau juga berharap tiada insiden yang boleh menjejaskan kelancaran mengundi berlaku di seluruh negara sehingga selesai proses pilihan raya ini.

“Kita sudah melalui banyak pilihan raya, justeru, orang ramai dinasihatkan tidak membuat provokasi. Serahkan tindakan lanjut kepada polis kerana sudah menjadi tugas kami menjaga keselamatan serta kesejahteraan orang ramai.

“Kita juga menyeru penyokong parti di enam negeri ini supaya berfikir secara rasional tanpa melakukan sebarang pelanggaran kerana tindakan diambil  tanpa mengira dari mana-mana parti,” tegasnya.

Mengenai persediaan polis di lokasi hotspot semasa pengumuman keputusan, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia meletakkan pasukan Op Cantas terutama di tempat yang memerlukan perhatian khusus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN