Tayang kertas undi kepada media: Keterangan Sanusi akan diambil

Tayang kertas undi kepada media: Keterangan Sanusi akan diambil

RAZARUDIN Husain berucap pada sidang akhbar diiringi oleh Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kiri) yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim (kanan) di Bukit Aman di sini hari ini. -GAMBAR /AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tindakannya menayangkan kertas undi kepada petugas media ketika proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkaitan kejadian tersebut dijalankan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian akan disiasat termasuk di bawah seksyen 5 (1) dan Seksyen 26 (1) (g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Apa pun beri peluang kepada pihak polis untuk menyiasat terlebih dahulu, dan beliau (Muhammad Sanusi) akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk dirakam keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Bukit Aman di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kertas siasatan yang lengkap kemudiannya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia akan melalui beberapa proses, dan polis akan jalankan menerusi proses-proses tersebut, sesiapa sahaja yang didapati lakukan kesalahan kita akan siasat.

“Siasatan dijalankan secara adil dan saksama, dan itu adalah tugas polis, kita bukan nak menganiayai sesiapa dalam siasatan,” jelasnya.

Sabtu lalu, media melaporkan, Muhammad Sanusi didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayangkan kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN