BATU PAHAT: Dua beradik maut setelah kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 36.7 Jalan Batu Pahat-Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dua mangsa maut dikenalpasti sebagai Fazli Yuzaini Zainal Abideen, 30, dan adiknya Irfan Helmi, 20.
Katanya, dua lagi mangsa iaitu Azrul Nizam, 29, dan Zul Fahmi, 25, mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
“Siasatan awal mendapati empat adik-beradik itu dalam perjalanan dari Kluang menuju ke Ayer Hitam dengan menaiki kereta Toyota Vios dipandu Azrul Nizam.
“Ketika sampai di lokasi, kereta dipandu Azrul Nizam hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga dan Volvo XC99,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, pemandu kereta Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 42 tahun, cedera di bahagian kaki kanan, manakala pemandu Volvo XC99, seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isterinya berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN










