WASHINGTON: Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) berkata pada Ahad bahawa seorang warga Iran telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles kerana didakwa menyeludup senjata ke Sudan bagi pihak Teheran.
Peguam AS, Bill Essayli dalam satu hantaran di platform X menulis, Shamim Mafi, 44, didakwa mengatur penjualan dron, bom, fius bom dan berjuta-juta butir peluru yang dihasilkan oleh Iran serta dijual kepada Sudan.
Seorang penduduk di kawasan pinggir Los Angeles, Woodland Hill berkata, Mafi merupakan warga Iran yang menjadi pemastautin tetap sah Amerika pada 2016, kata pendakwa raya itu.
Mafi ditahan pada Sabtu dan berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara persekutuan jika disabitkan kesalahan.
Hantaran itu disertakan dengan imej seorang wanita dipercayai Mafi dikelilingi ejen-ejen persekutuan di lapangan terbang, sebuah dron besar di landasan, gambar pengenalan diri wanita serta bungkusan wang tunai.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa Sudan berisiko terjerumus ke dalam kebuluran besar-besaran dan keruntuhan ketika perang antara tentera dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang separa tentera memasuki tahun keempat.
Ketua PBB di Sudan, Denise Brown, memberitahu AFP pada Khamis bahawa Sudan sedang berdepan krisis kemanusiaan terbesar di dunia dan senjata dari sumber luar turut menjadi antara punca keadaan itu.
PBB berulang kali menggesa kuasa asing supaya berhenti memburukkan konflik, namun tidak menuduh mana-mana negara secara khusus.
Sementara itu, di satu pihak, tentera Sudan disokong oleh Mesir dan Arab Saudi serta menggunakan dron buatan Turkiye dan Iran.
Namun, kebanyakan tuduhan ditujukan kepada Emiriah Arab Bersatu, yang menafikan bukti bahawa ia menyalurkan senjata kepada RSF. – AFP










