Kelab Perempuan Membaca perkasa budaya ilmu wanita

Kelab Perempuan Membaca perkasa budaya ilmu wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelab Perempuan Membaca (KPM) akan menjadi platform memperluas budaya membaca dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan selain memperkukuh akses kepada bahan bacaan berkualiti.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penubuhan kelab tersebut bertujuan menghimpunkan lebih ramai wanita yang menjadikan pembacaan sebagai sebahagian daripada kehidupan termasuk golongan ibu, remaja dan kanak-kanak.

Katanya, inisiatif itu juga diharap dapat mewujudkan ruang yang kondusif untuk memupuk minat membaca serta menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Niatnya kudus. Tiada yang lain, melainkan mahu menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, para ibu yang membaca, gadis muda yang cerdas membaca dan kanak-kanak perempuan yang suka membaca.

“Paling utama, ia adalah ruang penting untuk memastikan akses kepada bahan bacaan tidak akan putus walau apa jua rempuhan dan tribulasi yang melanda,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kelab membaca tersebut dilancarkan oleh Fadhlina sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengajak orang ramai khususnya golongan wanita untuk menyertai dan memeriahkan penubuhan kelab berkenaan serta bersama-sama meraikan usaha memperkukuh budaya membaca dalam masyarakat.

“Jemput hadir semua. Kita merayakan buku dengan penubuhan sebuah kelab yang menggerakkan citra Kota Baca. Kelab Perempuan Membaca, citra wanita cerdas akal dan budi!,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN