KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya membekalkan lebih banyak peluru untuk sistem pertahanan udara Patriot bagi menentang peluru berpandu balistik Russia.
Dalam surat bertarikh 26 Mei kepada Presiden AS, Donald Trump, Zelensky meminta AS membantu Ukraine mendapatkan peluru berpandu Patriot PAC-3 dan sistem tambahan untuk menghentikan serangan Russia.
Seorang penasihat kepada Zelensky, Dmytro Lytvyn, mengesahkan kepada wartawan menerusi WhatsApp mengenai surat yang dihantar kepada Ppesiden dan Kongres AS.
Rayuan itu menekankan kebergantungan hampir sepenuhnya Ukraine kepada sekutu Barat untuk menangkis serangan peluru berpandu Russia, walaupun negara itu membangunkan sistem pemintasan dron jarak jauh yang dianggap paling maju di dunia.
Permintaan tersebut juga dibuat hanya beberapa hari selepas satu serangan gabungan peluru berpandu dan dron antara terburuk yang dilancarkan ke atas Kyiv sejak Russia menceroboh Ukraine lebih empat tahun lalu, menyebabkan kemusnahan besar di ibu negara itu.
Dalam kenyataan berasingan kepada AFP, seorang pegawai kanan Ukraine mengaku mendapatkan bekalan peluru untuk sistem pertahanan udara canggih yang dibekalkan sekutu Barat adalah rumit.
“Sekarang memang sukar untuk mendapatkan peluru berpandu kerana terdapat banyak pesanan lain di negara-negara Teluk dan tempat lain.
Perang Iran, yang menyaksikan sekutu-sekutu AS menggunakan sejumlah besar peluru pertahanan udara untuk melindungi sasaran di Teluk, memburukkan lagi kekurangan dihadapi Ukraine. – AGENSI/AFP










