Tabung Haji lancar pelan integriti, perkukuh tadbir urus - Utusan Malaysia

Tabung Haji lancar pelan integriti, perkukuh tadbir urus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi komitmen tinggi dalam memerangi gejala rasuah dengan menandatangani ikrar bebas rasuah dan melancarkan Pelan Integriti TH 2023-2027 bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat serta meningkatkan nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan warganya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, sebagai institusi yang mengurus tadbir aset umat Islam di Malaysia, setiap warga TH harus memikul amanah besar di mana setiap urusan perlu mengambil kira kebajikan para pendeposit dan jemaah haji selari dengan peruntukan akta.

“TH adalah sebuah badan yang sentiasa menjadi tumpuan umum dan bertanggungjawab menguruskan simpanan serta perjalanan haji umat Islam Malaysia.

“Secara tidak langsung, adalah menjadi kewajipan TH untuk memastikan integriti didokong oleh seluruh warga di pelbagai peringkat.

“Bagi memenuhi tanggungjawab ini, pihak TH secara sistematik meneruskan usaha pembudayaan, pendidikan dan penerapan takrifan rasuah dan integriti mengikut fasal perundangan yang terkandung dalam insiatif Pelan Integriti Nasional,” katanya.

Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Pelan Integriti TH disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pelaksanaan Pelan Integriti TH 2023-2027 ini mengandungi tiga pendekatan utama iaitu Dasar & Tabir Urus, Nilai & Etika serta Akhlak & Budaya yang amat penting dalam proses mencapai Maqasid Syariah dan misi TH.

Sementara itu, Azam berkata, Pelan Integriti TH merupakan satu inisiatif yang membuktikan kesungguhan dan komitmen warga TH dalam menyokong penuh usaha dan aspirasi SPRM dalam memerangi gejala rasuah serta memastikan amalan tadbir urus yang baik semasa pelaksanaan tugasan harian.

“Penzahiran komitmen Pengurusan TH melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelan Integriti ini adalah amat penting bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

“Saya amat berharap program pada hari ini bukan bersifat one-off dan akan disusuli dengan pelbagai tindakan pengurusan tertinggi TH dalam usaha meningkatkan integriti warga TH,” tambahnya.

Seramai 220 warga TH hadir melafazkan ikrar akujanji untuk memerangi gejala rasuah yang merupakan satu elemen penting dalam pembinaan sebuah institusi yang kukuh dan menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN