DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan RM833 juta

DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan RM833 juta

MASIDI Manjun (tengah) semasa sidang DUN Sabah semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 melibatkan peruntukan RM833 juta bagi melancarkan operasi pentadbiran kerajaan.

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya meluluskan RUU berkenaan selepas ia dibahas oleh 11 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli Dewan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun semasa membentangkan RUU Perbekalan Tambahan itu menyatakan semua anggaran tambahan itu amat mustahak bagi melancarkan pentadbiran kerajaan, khususnya untuk tempoh suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, masalah bekalan air yang sedang dialami hampir di seluruh negeri semakin kritikal dan memerlukan jalan penyelesaian dengan segera.

Justeru itu, anggaran perbekalan tambahan ini akan menumpukan kepada perbelanjaan operasi terutamanya untuk menangani isu air dengan peruntukan RM139.09 juta atau 16.69 peratus diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

“Sejumlah RM138.54 juta atau 16.63 peratus untuk lain-lain perbelanjaan operasi yang merangkumi program tajaan biasiswa kerajaan negeri sebanyak RM46 juta dan penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan sebanyak RM19.78 juta.

“Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan logistik diperuntukkan sebanyak RM16 juta, pembelian kenderaan dan jentera di pelbagai kementerian dan jabatan sebanyak RM10 juta, penyelenggaraan landasan keretapi sebanyak RM3.89 juta, penyelenggaraan sistem pembetungan sebanyak RM1.6 juta dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi kementerian dan jabatan lain berjumlah RM41.27 juta,” katanya dalam persidangan DUN Sabah semalam.

Masidi berkata, sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah dan lain-lain keperluan yang berjumlah RM380.37 juta untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran bantuan khas kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran gantian cuti rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa bagi menampung keperluan sehingga hujung tahun.

Agihan perbekalan tambahan itu akan diagihkan kepada Jabatan Ketua Menteri sebanyak RM34.77 juta; Kementerian Kerja Raya sebanyak RM30.36 juta; Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM9.64 juta; Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM7.69 juta; dan pelbagai kementerian dan jabatan negeri yang lain sebanyak RM26.88 juta.

Mengulas lanjut katanya, anggaran perbekalan tambahan itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu yang tidak melibatkan aliran wang tunai sebanyak RM401.32 juta manakala, sebanyak RM431.71 juta melibatkan aliran wang tunai. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya