PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan komitmen berterusan dalam membantu penduduk yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi di Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap ujian yang dihadapi rakyat akan ditangani dengan sokongan dan bantuan sewajarnya, selain doa agar semua keluarga yang terkesan terus diberikan kekuatan.
“Semoga Allah mengangkat segala kesulitan mereka, menguatkan hati yang diuji dan membuka jalan yang lebih baik buat setiap keluarga yang terkesan.
“Dalam ujian ini, kita tidak akan membiarkan mereka bersendirian. Kita hadir dengan bantuan, doa dan tekad untuk memastikan mereka kembali bangkit meneruskan kehidupan.
“Terus kuat buat warga Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Anwar meninjau keadaan mangsa kebakaran Kampung Bahagia dan menyalurkan sumbangan kepada 300 keluarga terjejas bagi memberi sedikit kelegaan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
Mangsa akan menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,500 bagi meringankan beban mereka. – UTUSAN










