RM4.06b laksana 83 projek baharu bekalan air di Sabah

RM4.06b laksana 83 projek baharu bekalan air di Sabah

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar kepada Kerajaan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam. – UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 83 projek baharu dan sambungan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah diluluskan termasuk 37 projek prapelaksanaan bagi tahun ini dalam memastikan infrastruktur asas luar bandar negeri ini terus diperkasa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemaju­an Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos keseluruhan bagi semua projek terbabit mence­cah RM4.06 bilion.

Menurutnya, daripada jumlah terbabit, sebanyak RM143 juta diperuntukkan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun ini.

Beliau berkata, semua kelulusan projek berkenaan merupakan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu yang bersetuju supaya projek BALB di negeri terbabit dise­rahkan kepada kerajaan negeri Sabah untuk dilaksanakan.

“Langkah ini diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan kerajaan negeri, demi memastikan manfaat dapat di­salurkan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas dan berimpak tinggi.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian untuk menerajui pembangunan luar bandar seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar di Sabah melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar Kepada Kerajaan Negeri Sabah bertempat di pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, 83 projek yang diluluskan itu termasuk sebahagian projek yang tidak dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) pada tahun 2016.

“Ertinya, sudah 10 tahun (sebahagian) projek itu tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan terutamanya dari segi kebenaran merancang, jajaran baharu, spesifikasi mengikut lokasi, kekangan daripada pelantikan jururun­ding dan kontraktor.

“Ini (termasuk) juga beberapa permasalahan yang boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Sabah, Sarawak dan masalah lain yang hanya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, satu jawatankuasa peringkat tinggi turut ditubuhkan bagi memantau pelaksa­naan projek yang dianggotai dari pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN