BARISAN Nasional (BN) negeri dijangka menampilkan ‘nama besar’ sebagai calon mewakili parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober depan.
Sehingga kini, beberapa calon yang merupakan anak tempatan Bentong disebut-sebut sebagai berpotensi terdiri daripada tokoh korporat, kepemimpinan UMNO Bahagian Bentong, wanita, pemuda dan juga puteri.
Antara nama disebut-sebut ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh; Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Hazraf Ali Hasan dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Fadliyatun Ahmad.
Turut disebut dua bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Ekmal Hamid Zakaria dan Datuk Khairuddin Yaakob serta Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bentong, Datuk Jamaludin Buyong yang juga bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIplc Berhad.
Nama lain yang berpotensi adalah calon BN DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Datuk Amizar Abu Adam dan Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli.
Kerusi N36 DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober depan hari pengundian untuk PRK DUN Pelangai.
Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU15 lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.
Johari turut dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) memegang portfolio, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri.
Siapa pilihan BN bagi memastikan kerusi tradisi itu kekal milik parti itu sekali gus menyambung legasi kepemimpinan Allahyarham Johari?
Tentunya rakyat di Pelangai membabitkan 16,456 pengundi berdaftar mahukan wakil rakyat yang bukan sahaja ikhlas berkhidmat malah memahami dan menangani isu atau permasalahan dihadapi rakyat dengan baik serta berkesan. – UTUSAN











